Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 telah berlangsung pada 8 hingga 10 Februari di Hotel Raia, Kuala Nerus. Program ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW).
Pemukiman ini menjadi platform strategik bagi memperkukuhkan, menyelaras hala tuju dan perancangan serta menilai prestasi syarikat-syarikat milikan agensi dibawah KKDW bagi menghadapi cabaran 2026.
Dalam sesi pembentangan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd telah membentangkan prestasi semasa serta pelan perancangan strategik Kumpulan KHSB bagi tahun 2026 yang memberikan tumpuan kepada pengoptimuman aset dan tenaga kerja melalui penstrukturan organisasi ke arah saiz yang lebih efisien, selaras dengan keperluan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber.
Disamping itu, pelaksanaan sistem pengurusan dan operasi yang lebih berkesan akan terus diperkukuh bagi meningkatkan tahap kecekapan operasi serta memperkemas kawalan kos per unit. Kumpulan KHSB juga akan memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian kekuatan, kepakaran dan sumber dalaman bagi meningkatkan daya saing, memperkukuh fleksibiliti organisasi serta menyokong pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan.
Secara keseluruhannya, perancangan strategik ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan KHSB dalam mendukung agenda pembangunan desa dan wilayah, sejajar dengan Aspirasi Malaysia MADANI serta matlamat pembangunan sosio ekonomi negara.
