Pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 telah berlangsung pada 8 hingga 10 Februari 2026 di Hotel Raia, Kuala Nerus. Program ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Pemukiman ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh penyelarasan hala tuju, merangka perancangan menyeluruh serta menilai prestasi syarikat milikan agensi di bawah KKDW bagi menghadapi cabaran tahun 2026.
Dalam sesi pembentangan, Pengerusi KHSB telah membentangkan laporan prestasi keseluruhan syarikat yang merangkumi pencapaian utama serta kedudukan kewangan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KHSB pula membentangkan Pelan Perancangan Strategik Kumpulan 2026 yang memfokuskan pengoptimuman aset dan tenaga kerja melalui penstrukturan organisasi ke arah saiz yang lebih efisien bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber.
Selain itu, pengukuhan sistem pengurusan dan operasi bersepadu akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi, memperkemas kawalan kos per unit serta meningkatkan produktiviti organisasi. Kumpulan KHSB juga akan memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian kepakaran dan sumber dalaman bagi meningkatkan daya saing, fleksibiliti organisasi serta menyokong pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan.
Secara keseluruhan, perancangan strategik ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan KHSB dalam menyokong agenda pembangunan desa dan wilayah, sejajar dengan Aspirasi Malaysia MADANI serta matlamat pembangunan sosioekonomi negara.
